600,000 mati akibat asap Rokok


Hampir 600,000 orang yang tidak merokok, dengan satu pertiga daripada mereka kanak-kanak, meninggal dunia setiap tahun akibat menyedut asap rokok daripada mereka yang mengamalkan tabiat itu.


Angka itu diperolehi daripada kajian pertama yang diadakan di seluruh dunia mengenai kesan asap rokok ke atas golongan bukan perokok.


Berlainan dengan penyakit 'gaya hidup' yang banyak berpunca daripada pilihan individu, mangsa yang dikenali sebagai perokok pasif itu menanggung akibat daripada tabiat merosakkan kesihatan yang diamalkan oleh orang lain, terutamanya ahli keluarga.


Di kalangan bukan perokok di seluruh dunia, 40 peratus kanak-kanak, 35 peratus wanita dan 33 peratus lelaki terdedah kepada asap rokok pada 2004, tahun terakhir di mana data boleh didapati di kesemua 192 negara yang terlibat dalam kajian itu.


Apabila ditambah kepada 5.1 juta kematian melibatkan perokok aktif, jumlah kematian akibat amalan merokok bagi 2004 melebihi 5.7 juta orang di seluruh dunia, menurut kajian itu.


Hampir separuh daripada bilangan perokok pasif yang maut adalah wanita, manakala selebihnya terdiri daripada kanak-kanak dan lelaki dalam bilangan yang hampir sama, menurut kajian yang disiarkan hari ini dalam jurnal perubatan Britain, The Lancet.


Kira-kira 60 peratus kematian itu disebabkan penyakit jantung, manakala 30 peratus lagi akibat jangkitan paru-paru, dan bakinya disebabkan asma dan kanser paru-paru.


Keseluruhannya, kematian akibat menjadi perokok pasif menyamai satu peratus daripada kematian di seluruh dunia pada 2004.


Kematian orang dewasa akibat menyedut asap rokok orang lain adalah hampir sama di semua negara tidak kira negara miskin atau kaya.


Namun bagi kanak-kanak, kemiskinan menjadikan keadaan bertambah buruk, menurut kajian itu.


Misalnya di Eropah yang berpendapatan tinggi, nisbah kematian orang dewasa berbanding kanak-kanak adalah sebanyak 35,388 berbanding 71.


Nisbah di Afrika hampir terbalik iaitu 9,514 kematian orang dewasa berbanding 43,375 kematian kanak-kanak.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...